Lelaki Bersalah Edar Heroin Dijatuhi Hukuman Gantung Sampai Mati


LELAKI dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini selepas didapati bersalah mengedar heroin seberat 34.09 gram, dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz selepas tertuduh, Mohd Syawaldi Mamad, 26, didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 34.09 gram di sebuah rumah di Kampung Pak Pa, Kuala Terengganu, pada 6.30 petang, 3 Jun 2015.

Selain itu, tertuduh yang turut didakwa mengikut Seksyen 12 (2) akta sama kerana memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 27.84 gram turut dijatuhi hukuman penjara tiga tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di alamat, waktu dan tarikh sama.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Zainuddin Wan Musa.

Sumber: MyMetro