"Lelaki Kulit Kayu" Dipulau Penduduk Kampung


WEIHUI – Seorang lelaki dipulau penduduk kampungnya selepas menghidap sejenis penyakit yang menyebabkan kulitnya menjadi kasar seperti kulit kayu.

Li Xitian, 58, yang tinggal di sebuah kampung di Weihui di wilayah Henan mengalami penyakit ganjil itu selama lebih 30 tahun.

Kerana keadaan kulitnya yang kasar dan merekah penduduk kampung menggelar Li sebagai ‘Lelaki Kulit Kayu’.

Kerana bimbang penyakit itu berjangkit, penduduk kampung enggan bertemu Li dan memencilkan lelaki berkenaan.

Li yang tidak berkahwin membina sebuah rumah di satu kawasan terpencil di kampung itu supaya boleh hidup dengan aman.

Lelaki itu berkata, penyakit itu bermula selepas kulit kepalanya luka semasa menggunting rambut ketika berusia dalam lingkungan 20 tahun.

Sejak itu, luka berkenaan menjadi kasar dan mula merebak di kepala hingga ke badan dan kaki.

“Saya pergi hampir ke seluruh negara untuk mencari penawar penyakit ini tetapi doktor hanya mampu mengurangkan kesannya.

“Saya sudah menghabiskan semua wang simpanan untuk berjumpa doktor dan kini hidup dengan bantuan kerajaan,” katanya.

Doktor memberitahu, Li kemungkinan mengalami penyakit psoriasis yang teruk – satu keadaan genetik yang berpunca daripada faktor persekitaran.

Dalam kebanyakan kes, penyakit yang tiada penawar itu hanya menyebabkan tompok merah pada kulit tetapi Li mengalami keadaan yang lebih teruk. – Agensi