LIPIS - Seorang lelaki Orang Asli maut dalam keadaan badannya terputus dua selepas motosikal SYM BX110 ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta Proton Waja di Kilometer 24, Jalan Lipis-Benta, di sini semalam.
Ketika kejadian jam 1.30 pagi itu, Kamil Achai, 24, yang berasal dari Kampung Bukit Gabang, Lanchang, Temerloh maut di tempat kejadian.
Pembonceng dikenali sebagai Fandi berusia 20 tahun yang patah paha kiri dan tangan kanan, dikejarkan Hospital Kuala Lipis untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, sebelum kejadian kereta Proton Waja dipandu VD Balamurugan, 36, bersama rakannya, M Tanalatchumi, 37, dalam perjalanan ke Benta dari Lipis sebelum berlanggar dengan motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan.
“Mangsa tercampak atas jalan, manakala Fandi terpelanting ke dalam longkang,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi, di sini semalam.
Beliau berkata, ketika kejadian, keadan cuaca gelap dan jalan tiada lampu.
“Polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sumber: Sinar Harian