Lelaki Pukul Budak Bergaduh Dengan Anaknya

  Lelaki pukul budak bergaduh dengan anaknya

JIANGSU - Gara-gara seorang kanak-kanak berebut buaian dengan anaknya, seorang lelaki bertindak menghempaskan kanak-kanak itu ke dinding sebuah tempat permainan di sini.

Memetik laporan Thepaper.cn, insiden berkenaan dirakamkan kamera pengawasan di sebuah pusat membeli belah di Zhenjiang, wilayah Jiangsu.

Dalam rakaman itu, dua kanak-kanak perempuan dilihat berebut tali buaian sebelum salah seorang bapa kanak-kanak itu terus menarik baju dan menghayunkan kanak-kanak itu ke dinding penghadang.

Ibu mangsa yang menyedari insiden berkenaan terus bertindak berdepan dengan lelaki berkenaan.

Bagaimanapun, lelaki itu turut memukul wanita itu dan berlaku pergelutan antara kedua ibu bapa berkenaan sebelum dileraikan oleh seorang wanita.

Identiti kedua lelaki dan wanita berkenaan bagaimanapun tidak diketahui namun insiden berkenaan telah dilaporkan kepada polis dan siasatan telah dijalankan.

Rakaman yang dikongsi di media sosial mendapat kritikan ramai dan menyifatkan lelaki berkenaan biadap dan memberikan contoh yang tidak baik kepada anaknya.

Namun ada netizen yang menyalahkan kedua-dua mereka kerana tidak menyelesaikan pertikaian dengan cara yang baik.

"Kedua-duanya bersalah. Wanita itu tidak bertindak dengan cara baik bagi mengatasi pertelingkahan berkenaan," kata netizen dipetik South China Morning Post.

Sumber: Sinar Harian