Lelaki Rentung Dalam Kemalangan Di Lebuhraya Utara Dekat Tapah


LELAKI rentung dalam kemalangan dua kenderaan di Kilometer 321.6 Lebuhraya PLUS arah utara dekat Tapah, hari ini.

Dalam kejadian 3.15 pagi itu, kemalangan membabitkan Proton Iswara dan Toyota Estima itu mengakibatkan pemandu Iswara rentung selepas kedua-dua kenderaan itu terbakar.

Mangsa yang rentung masih belum dikenal pasti identiti.

Manakala, tiga mangsa dalam Estima hanya mengalami cedera ringan.

Difahamkan, kereta dipandu mangsa dipercayai terbabas melanggar pembahagi jalan menyebabkan mangsa tercampak keluar dari keretanya.

Pada masa sama, Estima dari arah yang sama dipercayai gagal mengelak dan melanggar mangsa serta keretanya menyebabkannya terperosok di bawah Estima sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar.

Pegawai Bertugas dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah, Nadzri Che Nordin ketika dihubungi Harian Metro berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.31 pagi sebelum anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, anggota yang tiba mendapati kedua-dua kenderaan itu terbakar sebelum kerja pemadaman dijalankan.

"Anggota kemudiannya menggunakan peralatan kecemasan untuk mengeluarkan seorang mangsa dipercayai lelaki yang rentung selepas terperosok ke bawah Estima.

"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan pada 5.31 pagi," katanya.

Sumber: MyMetro