Lelaki Tinggalkan Solat Jumaat


JUMAAT adalah hadiah dan anugerah buat umat Islam. Hari yang mempunyai banyak kelebihan. Hari yang ALLAH SWT pilih untuk berlakunya peristiwa yang besar.

Sabda Nabi Muhammad SAW: "Hari paling baik di mana matahari terbit pada hari itu adalah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan, dan pada hari itu juga Adam dimasukkan ke dalam syurga, serta diturunkan dari syurga. Pada hari itu juga kiamat akan terjadi dan pada hari tersebut terdapat suatu waktu di mana tidaklah seorang mukmin solat menghadap ALLAH mengharapkan kebaikan kecuali ALLAH akan mengabulkan permintaannya." (Riwayat Muslim)

Ia digelar 'Sayyidul Ayyam' iaitu penghulu segala hari. Pada hari inilah disyariatkan solat Jumaat. Menurut Ibn Kathir, nama Jumaat juga berasal dari perkataan al-jam'u yang bererti berkumpul sempena berkumpulnya umat Islam pada hari ini sekali dalam seminggu di tempat-tempat ibadat yang besar. (Tafsir Ibn Kathir, Dar al-Faiha’, 4/469)

Wajib untuk lelaki

Solat Jumaat adalah fardu ain ke atas setiap lelaki Muslim yang baligh. Ia wajib ditunaikan setiap minggu. Ini berdasarkan perintah yang sangat jelas di dalam al-Quran: "Wahai orang-orang beriman! Apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat ALLAH dan tinggalkanlah jual beli." (Surah Al-Jumu'ah: 9)

Imam Ibn Kathir mengulas ayat ini katanya: "Dan ALLAH telah memerintahkan agar orang beriman berkumpul untuk beribadah kepada-Nya, sebagaimana ALLAH berfirman: "Hai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati ALLAH dan tinggalkanlah jual beli." Maksudnya, berangkatlah kalian, niatkan dan perhatikanlah dalam perjalanan kalian menuju ke sana. Yang dimaksudkan dengan al-sa'yu (fas'au) bukan bererti berjalan cepat, tetapi memberikan perhatian terhadapnya." (Tafsir Ibn Kathir, Damsyiq: Darul Faiha,’4/469)

Seruan yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah seruan azan yang kedua iaitu selepas khatib duduk di atas mimbar. Perlu difahami, azan kedua ini bukanlah azan kedua seperti yang dilakukan di tempat kita sekarang.

Pada zaman Rasulullah SAW, azan Jumaat hanya sekali iaitu ketika masuknya waktu Zohor, khatib naik ke mimbar, lalu azan dikumandangkan. Namun, ketika zaman khalifah Uthman bin Affan, apabila daerah Islam semakin meluas, penganut Islam semakin bertambah, beliau menambah azan yang pertama iaitu sebelum masuknya waktu Zohor. Ini bertujuan memberi peringatan kepada orang ramai yang berjauhan supaya bersiap sedia untuk hadir ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.

"Bersegeralah kepada mengingati ALLAH" maksudnya bersegera untuk mendengar khutbah dan solat.
Ibnu Qudamah RHM mengatakan: "Sesungguhnya khutbah adalah syarat sah dalam solat Jumaat  Tidak sah solat Jumaat tanpa adanya khutbah. Ini adalah pendapat 'Atha, al-Nakha'i, Qatadah, Al-Thauri, Al-Syafi'i, Ishaq, Abu Thaur, dan Ashabur Ra'yi. Kami tidak mengetahui ada yang menyelisihkannya selain Al-Hasan (Al-Bashri). Dia berkata: "Sah solat Jumaat semuanya, sama ada imam berkhutbah atau tidak.

Ibnu Qudamah RHM berkata: "Dalil kami adalah firman ALLAH: "Maka bersegeralah kamu kepada mengingat ALLAH." (Surah Al-Jumu'ah: 9)

Zikir (di sini) adalah khutbah. (Dalil yang lain), Nabi SAW tidak pernah meninggalkan khutbah Jumaat dalam keadaan apa pun, padahal Baginda SAW bersabda: "Solatlah kalian sebagaimana melihat aku solat." (Al-Mughni, 3/170-171)

Kecuali keuzuran

Justeru, setiap lelaki Muslim yang baligh dan tidak mempunyai sebarang keuzuran atau bukan dalam musafir, maka wajib menunaikan solat Jumaat pada setiap minggu.

 Thariq bin Syihab meriwayatkan daripada Nabi SAW: "Solat Jumaat adalah hak yang wajib atas setiap Muslim dengan berjemaah, kecuali ke atas empat (golongan): hamba sahaya, wanita, anak kecil, atau orang yang sakit." (Riwayat Abu Daud dalam as-Sunan. An-Nawawi RHM menyatakannya sahih dalam Al-Majmu'. Disahihkan juga oleh Al-Albani di dalam Sahih Al-Jami')

Tanpa rasa bersalah

Namun, mengapa masih ada lelaki yang sengaja meninggalkan solat Jumaat? Kadang-kadang kelihatan seperti tidak rasa bersalah. Tidak berasa malu. Dalam keadaan orang ramai bergerak menuju ke masjid-masjid, ada yang tanpa segan silu berehat di pejabat, bersiar-siar di pasar raya, makan minum di restoran dan sebagainya. Lebih memalukan, ada yang keluar makan bersama rakan-rakan wanita sepejabat.

Ya, hari Jumaat adalah hari bekerja bagi kebanyakan negeri, melainkan di Kedah, Kelantan dan Johor. Tetapi, adakah bekerja boleh dijadikan alasan yang sah untuk tidak solat Jumaat?

Sedangkan waktu solat Jumaat telah diperuntukkan. Bahkan, jika ada mana-mana majikan yang tidak membenarkan untuk solat Jumaat, ada saluran undang-undang yang boleh digunakan bagi menunaikan hak dan kewajipan Muslim ini.

Sibuk bekerja dan berniaga mencari habuan dunia sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada Tuhan yang menguasai dunia dan segala isinya. Adakah alasan sibuk bekerja akan diterima apabila berhadapan dan ditanya di akhirat kelak?

Sesibuk mana kerja kita, sebesar mana projek yang sedang diuruskan, sepenting mana mesyuarat yang dijalankan, sebanyak mana untung bisnes yang dirunding, semua itu tidak dapat mengatasi keutamaan untuk menyahut seruan pada hari Jumaat. Sebab itulah ALLAH menyuruh: "Dan tinggalkanlah jual beli." (Surah Al-Jumuah: 9)

Arahan 'tinggalkan jual beli' ini adalah lambang kepada tinggalkan terlebih dahulu segala urusan keduniaan dalam apa jua bentuk sekali pun. "Demikian itulah yang terbaik bagi kalian, sekiranya kalian mengetahui." (Surah Al-Jumuah: 9)

Ancaman

Meninggalkan solat Jumaat adalah dosa. Bahkan ia termasuk di dalam senarai dosa besar seperti dinyatakan oleh Imam Al-Zahabi dalam Al-Kabair. Rasulullah SAW memberikan ancaman yang berat kepada mereka yang sengaja meninggalkan solat Jumaat.  Antaranya, Baginda SAW mengingatkan: "Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali tanpa darurat, ALLAH akan mengunci hatinya." (Riwayat Ibn Majah)

Di dalam hadis lain, Baginda SAW memberi amaran: "Hendaknya kaum itu berhenti daripada meninggalkan solat Jumaat  atau (kalau tidak) ALLAH akan menutup hati-hati mereka, kemudian tentu mereka akan menjadi orang-orang yang lalai." (Riwayat Muslim)

Ancaman bagi mereka yang tidak solat Jumaat adalah berat. Tetapi ada pula yang masih 'bermain-main' dengan ancaman ini. Kata mereka yang berdosa itu jika tidak solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut. Maka ada yang berdolak- dalih mengikut 'kebijakan' akal mereka.

Buat lelaki yang meninggalkan solat Jumaat, rebut peluang untuk berubah sementara umur masih dipanjangkan. Atur dan uruskan kehidupan mengikut kehendak Tuhan. Insya-ALLAH, hidup dan rezeki penuh melimpah dengan keberkatan.

*Ustaz Abd Razak Muthalib, Penulis ialah Jurulatih Kanan & Motivator di Akademi Magnet Sukses. Graduan Ijazah Sarjana Kuliyah Ilmu Wahyu, UIAM

Sumber: Sinar Online