Lelaki Tular Kulit Bersisik Meninggal Dunia


BAGAN SERAI - Lelaki menghidap penyakit kulit bersisik yang menjadi tular dalam media sosial, baru-baru ini, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Alor Setanggok, Simpang Empat, Semanggol di sini, kelmarin.

Mangsa, Abdul Wahid Sabri, 35, disahkan meninggal dunia pada jam 10.55 pagi.

Abang kedua mangsa, Ahmad Padhli Sabri, 42, berkata, Allahyarham adiknya disahkan menghidap penyakit kanser darah ketika dimasukkan ke Hospital Taiping pada 10 Julai lalu.

Menurutnya, Allahyarham adiknya dirawat selama enam hari di hospital sebelum dibawa pulang ke rumah.

“Selepas enam hari dirawat, arwah tiada perubahan dan kami terpaksa bawanya pulang ke rumah untuk berubat secara tradisional.

“Namun semalam (kelmarin) sekitar jam 10.55 pagi selepas bacaan surah Yasin, arwah meninggal dunia,” katanya.

Ahmad Padhli berkata, Allahyarham adiknya meninggalkan seorang isteri, dua anak lelaki berusia tiga dan lapan tahun.

Jenazah Abdul Wahid dikebumikan di Tanah Perkuburan Kubu Gajah, selepas solat Asar.

Sumber: Sinar Online