KOTA BHARU – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melancarkan Operasi Patuh (Op Patuh) serentak di seluruh negara bagi melakukan audit terhadap 3,445 pembayar cukai ingkar yang dikesan gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan melebihi tiga tahun taksiran.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) LHDN, Datuk Noor Azian Abdul Hamid berkata operasi yang dilakukan selama lima hari bermula hari ini hingga 21 Julai membabitkan 1,279 pegawai dari 37 cawangan LHDN.
“Fokus operasi melibatkan Audit Luar dan Audit Meja bagi 1,687 pembayar cukai syarikat dan 1,758 individu yang dikesan gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan mereka di seluruh negara,” katanya kepada pemberita pada majjlis Kunjungan Mesra Hasil Berfokus Peringkat Nasional di LHDN Cawangan Kota Bharu, hari ini.
Memberi satu contoh, Noor Azian berkata satu operasi siasatan cukai yang dilaksanakan ke atas sebuah kumpulan syarikat mendapati ia gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan sejak 2010 hingga 2016.
“Anggaran cukai yang ditaksir gagal diisytiharkan oleh kumpulan syarikat ini berjumlah RM20 juta. Kes ini dikesan hasil kerjasama strategik antara LHDN dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam usaha menangani ketirisan cukai,” katanya.
Op Patuh adalah sebahagian aktiviti penguatkuasaan LHDN bagi meningkatkan pematuhan cukai serta memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai tanggungjawab mengisytiharkan cukai pendapatan.
Beliau berkata kegagalan untuk melaporkan semua punca pendapatan dengan lengkap adalah satu kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. – BERNAMA