Liga Malaysia Rehat Pada Ogos, Beri Laluan Persiapan Hadapi Sukan SEA


PETALING JAYA - Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) memutuskan untuk meluluskan pindaan jadual perlawanan Liga Malaysia 2017.

Ia berikutan permintaan pengurusan skuad Bawah 22 Tahun bagi menjalani persiapan menjelang Sukan SEA Ogos ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan FMLLP pada Selasa, perlawanan yang berlangsung pada Ogos depan akan ditangguhkan.

"Ahli Lembaga Pengarah FMLLP telah membuat pertimbangan dan bersetuju terhadap permohonan pindaan tersebut bagi memudahkan urusan pihak Pengurusan B-22 Negara membuat persiapan.

"Antara pindaan melibatkan perlawanan Piala Malaysia yang berlangsung pada 9 Ogos ditukar kepada 9 September 2017.

"Manakala FMLLP turut meluluskan untuk pindaan perlawanan Liga Super dan Liga Premier yang berlangsung pada September bagi membantu persiapan pasukan kebangsaan menghadapi Kelayakan Piala Asia UAE 2019.

Jadual pindaan pada September melibatkan perlawanan Liga Super pada 27 Sept kepada 30 September.

Manakala perlawanan Liga Premier pada 26 September dipinda pada 29 September, 20 okt (27 Okt) dan 21 Okt  berlangsung pada 28 Oktober.

Sumber: Mstar Online