Liga Super: Menang Di Kota Bharu Selamat Sarawak Daripada "Zon Merah"


KOTA BHARU – Kemenangan ke atas Kelantan dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV malam semalam, amat penting kepada pasukan Sarawak bagi mengelak pasukan itu terus berada pada kedudukan ‘zon merah’ liga.

Ketua Jurulatih Sarawak, David Usop berkata kejayaan meraih tiga mata penting itu merupakan bonus kepada pasukannya untuk terus kekal dalam kempen Liga Super musim depan.

“Sebelum ini, kami di kedudukan ke-10 liga dan kedudukan ini tidak selamat, namun dengan tiga mata tersebut, ia membolehkan kami naik satu anak tangga sekali gus memberi kelegaan kepada kami,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.

Pada perlawanan itu, Sarawak menewaskan Kelantan 2-0 hasil jaringan Demerson Bruno Costa pada minit ke-21 dan Mateo Roskam pada minit ke-35.

Sarawak kini mengumpul 14 mata selepas mengharungi 14 perlawanan, hasil tiga kemenangan, lima seri dan enam kekalahan.

David berkata kemenangan itu juga menjadi suntikan semangat kepada pemainnya untuk mencipta kemenangan pada perlawanan akan datang.

“Ia juga membantu kami meyakinkan penyokong untuk terus memberi sokongan kepada pasukan dan apa yang penting kemenangan ini dapat dijadikan tonik bagi mencipta kemenangan sulung di gelanggang sendiri dalam saingan Liga Malaysia musim ini, kerana pada perlawanan sebelum ini kami tidak pernah menang di tempat sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Pasukan Kelantan, Alfredo Carlos Gonzales berkata kekalahan pasukan itu di halaman sendiri disebabkan pelbagai faktor termasuk tiada tempat latihan semasa liga berehat selama hampir sebulan pada bulan Ramadan lepas. – BERNAMA