KUANG - Anggota UMNO tidak perlu terus bernostalgia dan taksub terhadap pemimpin tertentu yang telah meninggalkan parti, sebaliknya harus memandang ke depan dan meneruskan usaha memartabatkan bangsa.
Sehubungan itu anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuk meminta anggota parti agar merapatkan saf dan menanam niat yang ikhlas dalam perjuangan bagi memastikan UMNO terus relevan kepada orang Melayu.
"Kita tidak pernah mengetepikan pemimpin yang pernah berjasa ini tetapi pada masa yang sama kita perlu mara ke depan daripada bernostalgia terhadap mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kluang di sini semalam.
Hadir sama Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.
Walaupun tidak menyebut nama, pemimpin yang dimaksudkan adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan mahu menjatuhkan Perdana Menteri dan menentang parti asal mereka, UMNO.
Dalam ucapannya sebelum itu, Asyraf Wajdi yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengingatkan bahawa parti lawan juga akan gerun terhadap UMNO dengan syarat ahli dan pemimpin teguhkan saf.
"Adalah perkara biasa berlaku sesuatu yang negatif dalam parti tetapi apabila kita berada dalam satu pasukan yang mantap, orang tidak lagi akan terus bercakap tentang kekurangan itu lagi, " kata beliau yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. - Kedahnews.com