Lima Lelaki Edar Pil Kuda Ditahan Dalam Dua Serbuan Di Kota Bharu


KOTA BHARU - Lima lelaki yang dipercayai terlibat dengan pengedaran pil kuda di daerah ini diberkas bersama 964 biji pil kuda yang bernilai RM9,680 dalam dua serbuan berasingan di Jalan Pengkalan Chepa dan Panji di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, serbuan pertama pihak polis di sebuah rumah di Tanjung Mas, Jalan Pengkalan Chepa telah menahan empat lelaki yang berusia 21 hingga 33 tahun.

"Pemeriksaan lanjut polis di dalam rumah tersebut telah menemui sebanyak 364 biji pil kuda di dalam rumah tersebut.

"Hasil daripada risikan yang dijalankan polis mendapati kegiatan pengedaran pil kuda telah dikesan bergerak aktif dalam sejak enam bulan lalu.

"Susulan penahanan empat lelaki ini telah membawa kepada penangkapan ketua kumpulan yang dikenali kumpulan Piji iaitu seorang lelaki berusia 24 tahun bersama 600 lagi pil kuda di tepi jalan Kampung Tapang, Panji di sini pada hari yang sama," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, kesemua suspek ditahan reman selama seminggu hingga 25 Julai ini bagi membantu siasatan.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B , Seksyen 39A(2),39A (1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: Sinar Harian