Lisa Shimazaki Jatuh Cinta Dengan Adat Budaya Malaysia


PUTRAJAYA  - Juara kategori Antarabangsa pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2017 PABM 2017, Lisa Shimazaki, 21, mengakui jatuh cinta dengan adat dan budaya di Malaysia sehingga mendorongnya untuk belajar bahasa kebangsaan.

Pelajar sebuah universiti di Tokyo itu yang ditemui selepas pertandingan berkenaan, berkata dua tahun lalu beliau melancong ke negara ini dan bermula minatnya untuk belajar bahasa Melayu dengan lebih mendalam.

"Saya lebih suka bahasa Melayu di Malaysia kerana kosa katanya lebih mudah dan tidak perlu bercakap dengan bahasa baku.

"Ini adalah penyertaan pertama saya dalam PABM dan tidak sangka dinobatkan sebagai pemenang utama. Syukur semua ini tidak akan dapat dicapai tanpa bantuan dari pensyarah di universiti," katanya.

Lisa membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000, Piala Perdana Menteri, hadiah iringan dan sijil.

Hadiah berkenaan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam tadi.

Bagi tempat kedua dalam kategori sama dimenangi oleh Ma Xio Nabil dari China dan tempat ketiga dimenangi oleh Rimajon Sotlikova dari Uzbekistan.

Sementara itu, pemenang kategori pelajar antarabangsa di Malaysia, Abdul Matin Mohamed Azeem, 24, berkata beliau tidak menyangka dinobatkan sebagai pemenang kerana ini adalah penyertaannya kali ketiga.

"Sebelum pusingan separuh akhir saya jatuh sakit, dan ia mengganggu saya untuk berlatih dan menghafal. Syukur ini adalah rezeki saya," katanya.

Sumber: BH Online