Luluskan Cuti Khas Pekerja Jalani Rawatan Kesuburan

 kehamilan

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim menyarankan majikan supaya memberi kelulusan cuti khas kepada pekerja yang ingin mendapatkan rawatan kesuburan bagi membantu merealisasikan harapan mendapatkan cahaya mata.

Beliau berkata, majikan juga boleh memberikan insentif atau pembiayaan khas kepada kakitangan yang menghadapi masalah kewangan untuk mendapatkan rawatan itu yang membabitkan kos tinggi.

“Majikan juga boleh menimbang memasukkan kos pembiayaan rawatan subfertiliti dalam senarai jenis rawatan yang ditanggung oleh panel kesihatan majikan.

"Menjadi tanggungjawab semua pihak iaitu kerajaan, keluarga malah majikan untuk menyediakan ruang dan peluang kepada pasangan bermasalah untuk mendapatkan rawatan kesuburan," katanya pada majlis Jalinan Kasih Memenuhi Harapan anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Persatuan MyEndorsis Selangor dan Kuala Lumpur di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi LPPKN Datuk Mariam Mas Yaakob.

Rohani turut mencadangkan industri insurans kesihatan supaya memasukkan rawatan kesuburan sebagai satu daripada jenis penyakit yang dinsurans kerana selama ini ia tidak dikira sebagai penyakit walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggap sebaliknya.

Dalam pada itu, beliau berkata sejak 1979, LPPKN memberikan rawatan kesuburan dan merekodkan lebih 4,000 kehamilan.

"LPPKN mempunyai kemudahan, kepakaran dan pengalaman dalam memberikan perkhidmatan subfertiliti dengan kos yang berpatutan," katanya.

Menurutnya kadar kesuburan di negara ini dijangka mengalami penurunan sehingga 1.91 peratus pada 2020 berbanding 6.7 peratus pada 1957.

"Senario penurunan kadar kesuburan itu akan menjadikan negara mempunyai lebih ramai warga tua pada masa hadapan berbanding tahun-tahun sebelumnya," kata beliau.

"Malaysia juga dijangka menjadi negara tua menjelang 2030 apabila lebih 15 peratus daripada populasi rakyat mencapai umur 60 tahun ke atas pada waktu itu. Jika perkara itu tidak ditangani, negara kita diunjurkan mencapai 24 peratus warga tua menjelang 2030," katanya.

Statistik subfertiliti atau masalah ketidaksuburan yang direkodkan LPPKN bagi tempoh 2012 hingga 2016 mencatatkan 5,765 kes baharu yang telah mendaftar dengan badan berkenaan manakala kes ulangan adalah sebanyak 37,930 kes.

"Sebanyak 3,186 kes telah menjalani kaedah rawatan subfertiliti dan 625 individu (20 peratus) berjaya hamil," katanya. - Bernama