AYER KEROH - Kehidupan rakyat negara ini akan sama dengan nasib penduduk di Perancis dan beberapa negara Asia Barat yang sedang bergelut dengan ancaman ekonomi jika membenarkan Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir semula negara.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Haron, berkata ini kerana Dr Mahathir akan tetap menggunakan dasar lamanya ketika menjadi Perdana Menteri hanya menjaga kebajikan kroni serta beberapa pihak yang dianggap sebagai proksinya tanpa menghiraukan kesusahan rakyat.
Katanya, rakyat negara ini wajib bersyukur kerana dikurniakan pengganti Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri yang jauh lebih baik dan sering berusaha meningkatkan kehidupan rakyat meskipun keadaan ekonomi yang tidak menentu.
"Jika ditakdirkan Dr Mahathir terus mentadbir negara ketika ini, saya yakin jurang perbezaan antara kaya dan miskin akan bertambah lebar sekali gus mencetuskan revolusi seperti berlaku di Perancis apabila orang miskin dan susah memberontak serta merosakkan negara yang dibina.
"Jika dia (Dr Mahathir) terus dengan dasar sebagai Perdana Menteri sehingga hari ini, sudah pasti yang kaya bertambah kaya, yang miskin menjadi papa kedana dan bertambah susah, sekali gus akan mewujudkan ketidakseimbangan ekonomi, "katanya.
Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka ditemui selepas merasmikan Program Eco Schools peringkat negeri, di Dewan Seri Negeri, di sini, Khamis lalu.
Idris berkata, jika mahu dibandingkan perbezaan politik berhemah antara Dr Mahathir dengan Datuk Seri Najib Razak, ibarat langit dan bumi kerana bekas Perdana Menteri itu hanya mementingkan jawatan untuk kepentingan diri sendiri.
Sumber: Berita Harian