Mahkamah Rayuan Tolak Rayuan MB Selangor Periksa Balas Pengerusi SPR


PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan memutuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu mengemukakan perincian terhadap perubahan lokaliti melibatkan sejumlah 136,272 orang pengundi di Selangor selepas membenarkan rayuan agensi itu. 

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohd. Zawawi Salleh yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan agensi tersebut tanpa kos.

Kuorum berkenaan bagaimanapun menolak rayuan kerajaan negeri Selangor untuk memeriksa balas Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah berhubung cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

Dengan keputusan itu, kerajaan negeri Selangor akan mendapatkan nasihat perundangan lanjut daripada barisan peguam bela sama ada merayu keputusan tersebut atau kembali ke Mahkamah Tinggi agar permohonan semakan kehakiman dibicarakan.

Kerajaan negeri Selangor yang diwakili oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan DUN di negeri itu.

Beliau memohon perisytiharan bahawa cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya itu, berdasarkan kajian SPR pada 2016, tidak mematuhi perlembagaan, tidak selaras dengan Fasal 2(c) dan 2(d) Perkara 113 (2) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, serta tidak sah dan terbatal.

Ahli Parlimen Gombak itu juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa kegagalan SPR menggunakan rang daftar pemilih terbaru dalam urusan persempadanan semula itu adalah melanggar perlembagaan, tidak selaras dengan Seksyen 3 Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu adalah tidak sah dan terbatal. 

Sumber - Utusan