Mahu Tunai Haji, Hattan Tolak Tawaran Buat Persembahan Di Sukan SEA 2017


PENYANYI Datuk Hattan mendedahkan menolak tawaran untuk mengadakan persembahan pada acara penutup Sukan SEA 2017 kerana mahu mengerjakan ibadah haji buat kali pertama.

Hattan memberitahu peluang untuk menunaikan haji itu datang sekali dan dia tidak akan melepaskannya.

"Saya baru dapat tahu nama saya terpilih untuk menunaikan haji sebelum Ramadan lalu dan saya teruja mendapat perkhabaran itu.

"Tanpa membuang masa, saya terus menolak tawaran mengadakan persembahan di Sukan SEA kerana bagi saya ini peluang yang besar yang tidak patut saya lepaskan.

"Saya sedar Sukan SEA pun tawaran yang besar dalam kerjaya saya tetapi bekalan akhirat lebih penting dan bermakna buat saya.

"Sudah terlalu lama saya simpan hasrat ini dan Alhamdulillah impian saya menjadi kenyataan,"  katanya kepada Astro Gempak.

Hattan ditemui selepas sidang media 1st World Sama Fest yang diadakan di Hotel Royale Bintang, Damanara baru-baru ini.

Festival keagamaan itu akan diadakan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 28 Julai ini bermula 8 malam.

Hattan dijangka berangkat ke Makkah menerusi penerbangan terakhir ke Jeddah pada 24 Ogos depan. 

Mengulas mengenai persiapan, Hattan memberitahu dia bakal mengikuti kursus haji dalam masa terdekat.

"Kalau nak ikutkan saya pernah mengikuti kursus haji beberapa tahun dahulu dan hampir mahu ke sana tetapi masa itu Allah tidak mengizinkan.

"Tapi saya akan mengikuti kursus haji sekali lagi.

"Saya rasa tiada masalah, sebab saya pun pernah mengerjakan umrah dua kali sebelum ini," katanya lagi.

Sumber: Astro Awani