Makin Ramai Pelajar Melayu Masuki Sekolah Cina

 Dari Media Cina,

SHAH ALAM - Jumlah pelajar Cina yang mengikuti pendidikan di sekolah rendah Cina menunjukkan penurunan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sebaliknya pelajar Melayu pula semakin ramai yang berminat memasuki sekolah rendah Cina dengan jumlah peningkatan kepada 18 peratus sehingga hari ini.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon yang meramalkan sekiranya trend ini berlaku secara berterusan, ia tidak mustahil akan terus meningkat antara 20 hingga 30 peratus.

"Antara punca penurunan pelajar Cina  disebabkan kadar kelahiran yang semakin berkurangan dalam masyarakat Cina. Satu lagi punca ialah semakin ramai masyarakat Melayu sudah boleh menerima silibus yang diajar di sekolah Cina.

"Sebab itulah kenapa sekolah rendah Cina kini dilihat sebagai sekolah pelbagai kaum dan bukan lagi hanya terdiri daripada pelajar Cina," katanya seperti yang disiarkan dalam Sin Chew Daily.

Tahun lalu, kajian yang dijalankan oleh Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan turut mendedahkan sekolah rendah Cina berupaya menjadi sekolah arus perdana menggantikan sekolah kebangsaan dan mungkin menjadi lebih majmuk dalam masa 10 tahun akan datang.

Sumber: Sinar Harian