Malam Hitam Di Darul Aman Bagi Pengajaran - Zahasmi


ALOR SETAR - Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail menyifatkan kekalahan besar 5-0 kepada Kedah pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman malam tadi, sebagai pengajaran berharga untuk skuadnya.

"Kita akan perbaiki lagi segala kekurangan dan kekalahan malam ini (semalam) bukan kekalahan berterusan... tapi kekalahan ini adalah batu loncatan untuk kita cari kejayaan," kata Zahasmi yang ditemui selepas perlawanan.

"Ia satu pengalaman dan apa yang berlaku adalah satu pengajaran. Semuanya tak menjadi buat Kelantan... mungkin kita terlalu memberi ruang untuk Kedah menguasai setiap sudut dan kawasan.

"Gol awal yang dihasilkan Kedah juga menjadi antara punca pemusnah segala-galanya, tetapi dalam bola sepak biasalah... ia boleh terjadi.

"Saya ucapkan tahniah kepada Kedah yang bermain begitu baik dan boleh saya katakan kuasai keseluruhan perlawanan," katanya.

Zahasmi berkata, tumpuannya selepas ini adalah untuk bangkit pada aksi Piala Malaysia apabila Kelantan dijadual menentang UiTM FC, Sabtu ini.

"Saya mahu kita lupakan kekalahan ini dengan beri tumpuan dalam saingan Piala Malaysia nanti. Saya yakin kita mampu bangkit pada pertemuan menentang UiTM FC," katanya.

Sumber: BH Online