Malaysia Sedia Pertahankan Makkah, Madinah


KUALA LUMPUR - Malaysia akan bekerjasama dengan Arab Saudi untuk mempertahankan kesucian dan kestabilan kota suci Makkah dan Madinah daripada serangan pengganas.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata ini berikutan serangan terbaru puak Houthi terhadap Makkah, pada Khamis lalu.

Katanya, beliau berhubung dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohamed Salman, yang juga Menteri Pertahanan Arab Saudi, semalam mengenai serangan itu dan bersetuju untuk bertukar maklumat mengenainya.

"Pendirian Malaysia adalah jelas, kita tak berbelah bahagi mempertahankan dua kota suci umat Islam iaitu Makkah dan Madinah, " katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bandar Tun Razak, di sini hari ini.

Pada Khamis lalu, Pasukan Keselamatan Arab Saudi memintas sebuah peluru berpandu balistik dikenali sebagai 'Burkan-1' , yang disasarkan 69 kilometer dari Makkah di kawasan Al-Wasliya di Wilayah Yaif.

Selain itu, katanya, Malaysia akan berkongsi lebih banyak risikan mengenai kumpulan pengganas Daesh dengan Arab Saudi.

"Syukurlah, hubungan kita sangat baik yang memudahkan berkongsi maklumat terperinci antara satu sama lain," katanya.

Sumber: BH Online