'Mana Boleh Pindah Kubur Dua Negara'


JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri tiada menerima maklumat berhubung dakwaan pemindahan besar-besaran kubur Islam di Singapura ke Johor bagi tujuan menaik taraf pangkalan udara republik itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, turut mempersoalkan keperluan negara berkenaan memindahkan kubur ke negeri itu, selain menyifatkannya sebagai di luar konteks.

"Bila pula nak pindah? Siapa cakap? Saya tak dengar apa-apa. Mana boleh alih (memindahkan kubur), kita dua negara lain.

"Kalau ada pun permohonan, saya tak fikir kita benarkan sebab kita pun nak uruskan orang Islam yang meninggal dalam negara kita.

"Dulu orang kata Johor ini halaman belakang Singapura, takkan kita nak jadi halaman kubur untuk Singapura. Ini tak timbul langsung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) ke-17 di sini, hari ini.

Pada 19 Julai lalu, media tempatan republik berkenaan melaporkan 45,500 jirat Cina dan 35,000 kubur Islam di Choa Chu Kang akan digali sebagai sebahagian rancangan meluaskan pangkalan tentera udara negara itu.

Laporan sama menyatakan, kerajaan republik itu akan memperoleh empat tanah swasta termasuk dua ladang menternak ikan dan tapak semaian.

Kawasan terjejas seluas 106 hektar itu akan menjadi peluasan pangkalan tentera udara yang menampung pemindahan Pangkalan Udara Paya Lebar (PLAB) selepas tahun 2030.

Sumber: BH Online