POLIS menyelamatkan lima wanita Indonesia yang disyaki dieksploitasi majikan untuk menjadi penjaga atau pengasuh tanpa gaji di pusat jagaan orang tua di Johor Bahru, semalam.
Polis turut menahan tiga individu termasuk seorang wanita negara itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka yang ditahan disyaki mendalangi sindiket pemerdagangan manusia itu.
Beliau berkata, tangkapan dibuat selepas dua serbuan dilakukan di pusat jagaan terbabit dan rumah yang dipercayai digunakan oleh ejen pembekal pekerja asing di sekitar bandar raya ini, 6.30 petang semalam.
Katanya, semua mangsa yang diselamatkan adalah wanita warga Indonesia berusia antara 28 hingga 60 tahun.
"Serbuan dijalankan menerusi Ops Lebaran dan menahan dua lelaki berusia 60-an dan seorang wanita warga Indonesia.
"Semua mangsa wanita warga Indonesia yang diselamatkan itu disyaki dieksplotasi kerja oleh majikannya.
"Siasatan awal mendapati mereka sudah bekerja antara dua bulan hingga 10 tahun dan dipercayai tidak dibayar gaji," katanya.
Kamarul Zaman berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 12 dan 13 Akta Antipemergadangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 55B dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Manakala, katanya, mangsa diselamatkan mengikut Seksyen 44 ATIPSOM 2007.
Sumber : MyMetro