Mara Wajar Wujudkan Program Impak Tinggi Di Kuala Perlis


KANGAR  – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya Mara dapat mewujudkan projek atau program berimpak tinggi yang berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat seperti di Kuala Perlis.

Baginda bertitah, ini berikutan daerah itu dikenal pasti mempunyai kadar ‘pusing ganti’ pelancong yang tinggi.

‘Ini boleh dilakukan dengan menyediakan prasarana dan kemudahan perniagaan moden kepada usahawan negeri ini, selari dengan perkembangan semasa, misalnya projek ‘Laman Foodtruck’. Ini boleh dilaksanakan melalui kerjasama Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan juga pihak FAMA.

“Pada masa sama, harapan beta agar Mara dapat melahirkan sekurang-kurangnya 10 orang usahawan global yakni yang mempunyai pasaran di peringkat antarabangsa dan juga membantu menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri ini,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika berkenan mencemar duli hadir Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Mara negeri di Arked Mara di sini semalam.

Berkenan hadir sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir bekas Pengarah Mara negeri, Zahari Aziz yang kini bertugas di Medan Mara, Kuala Lumpur dan tempat Zahari digantikan oleh Lukman Hakim Hasan yang sudah memulakan tugasnya pada 10 Julai lalu.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berharap Mara dapat terus menyediakan peluang pendidikan sepanjang hayat kepada rakyat Perlis melalui institusi pendidikan Mara bersama kerjasama strategik insitusi-institusi pendidikan setempat.

‘Ini termasuk mempertimbangkan untuk mewujudkan institusi-institusi pengajian tinggi di bawah MARA yang belum ada di negeri ini seperti Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KPTM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Kolej Mara (KM) dan Kolej Profesional Mara (KPM),” titah baginda.

Sumber: Utusan Online