Maritim Kuala Kedah Tahan Bot Siput, Rawa Sorong Langgar Syarat Lesen


ALOR SETAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kuala Kedah semalam telah menahan sebuat bot siput dan sebuah bot pukat rawa sorong di perairan Yan dan Kuala Kedah kerana didapati melanggar syarat lesen.

Pengarah Maritim Pangkalan Kuala Kedah Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata kedua-dua bot yang ditahan  pada jarak 1.5 batu nautika dari pantai Kuala Kedah dan di 1.3 batu nautika barat laut pantai Yan itu dilakukan pada jam 4.30 pagi dan 5.30 pagi.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot siput tersebut didapati pengusaha telah melakukan kesalahan melanggar syarat lesen. Lima lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 33 hingga 47 tahun ditahan untuk siasatan dan pendakwaan," katanya.

Pihak Maritim Kuala Kedah turut menyita bot pukat rawa sorong yang digunakan nelayan berkenaan bersama-sama dengan  peralatan menangkap ikan dan dibawa ke pangkalan maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

"Sebaik sahaja menyedari kehadiran bot penguat kuasa, nelayan terbabit cuba melarikan diri dengan membawa bot ke kawasan cetek. Nelayan itu kemudian terjun ke dalam laut dan berenang ke pantai untuk melarikan diri," katanya. 

Penggunaan bot pukat rawa sorong adalah satu kesalahan kerana boleh memusnahkan habitat dan menjejaskan pertumbuhan hidupan marin. - Kedahnews.com