Menangis Terlepas Tali Gantung

  

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan tekstil berasal dari Indonesia menangis kesyukuran apabila dia terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah syabu seberat 673.4 gram tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ab. Karim Ab. Rahman membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Dedy Saputra, 31, selepas mendapati pihak pem­belaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan kes itu semalam.

Dalam penghakimannya, Ab. Karim memberitahu, mahkamah berpendapat bahawa tertuduh yang berasal dari Aceh tersebut tidak mempunyai pengetahuan langsung mengenai kewujudan dadah di rumah sewa itu.

“Ini kerana semasa anggota polis datang ke rumah tersebut untuk membuat pemeriksaan, tertuduh sendiri telah membawa anggota polis terbabit ke bilik utama rumah itu. Sekiranya tertuduh mempunyai pengetahuan mengenai dadah terbabit tidak mungkin dia akan berbuat demikian.

“Selain itu persoalan lain yang timbul adalah hasil pemeriksaan, polis kemudian telah me­nemui dadah di dalam peti besi bersama bil Astro yang tertera nama tertuduh. Tetapi perkara itu dianggap tidak munasabah untuk mengaitkan tertuduh dalam pertuduhan ini kerana kesemua barangan peribadi tertuduh yang lain berada di bilik kedua,” katanya.

Tambah beliau, berikutan itu Mahkamah Tinggi membuat keputusan untuk melepas dan membebaskan tertuduh dalam atas pertuduhan tersebut.

Sumber: Kosmo