Minta Bantuan Bomba Guna Aplikasi


KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur melancarkan aplikasi android bomba bertujuan membantu masyarakat mendapatkan bantuan kecemasan daripada balai bomba dan penyelamat berhampiran.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Wira Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, kewujudan aplikasi itu langkah bijak diambil bomba Kuala Lumpur dalam usaha mendekati masyarakat.

“Aplikasi ini membantu pihak bomba mendekati masyarakat terutama dalam kalangan generasi muda yang gemar mendapatkan maklumat melalui telefon pintar.

“Malah, aplikasi itu bertepatan dengan misi pihak bomba dalam mencapai rekod maklum balas cepat membabitkan kes separa kecemasan memandangkan risiko dan jumlah kes dicatatkan lebih tinggi di ibu negara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Aplikasi Android Bomba Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, semalam.

Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan dua motosikal daripada Rotary Club of Bukit Bintang kepada pasukan bomba sukarela Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata, aplikasi itu memiliki beberapa ciri termasuk direktori serta maklumat balai bomba, aduan awam dan tips keselamatan.

“Aplikasi ini membabitkan perkhidmatan berbentuk teknikal seperti tertinggal kunci, menyelamatkan haiwan, binatang berbisa dan lain-lain.

“Melalui aplikasi ini, pengguna tidak perlu menghubungi talian kecemasan sebaliknya terus melaporkan kejadian yang berlaku kepada kami,” katanya.

Sumber: MyMetro