Miss World Australia Esma Voloder Jadi Sasaran Kritikan Kerana Beragama Islam


SYDNEY - Esma Voloder, yang dinobatkan sebagai Miss World Australia baru-baru ini, kini menjadi perhatian ramai termasuk menjadi sasaran kenyataan-kenyataan yang menyakitkan hati hanya kerana beliau seorang Islam dan oleh itu tidak wajar mewakili negara itu.

Mereka yang mengecam mendakwa Esam tidak layak untuk mewakili negara itu disebabkan faktor agama.

Esma meletakkan sasaran untuk memenangi pertandingan Miss World yang bakal berlangsung November ini.

Dengan sinis Esma menjawab: “Kehidupan ini terlalu pendek bagi (mereka yang buat kenyataan) negatif”.

“Saya maafkan mereka … saya rasa ia datang kerana kurangnya persefahaman,” kata Esma yang berusia 25 tahun itu, dipetik Daily Telegraph.

“Saya berharap dapat memecahkan halangan ini dengan menjadi saya seperti saya.”

Dalam pada itu, Pengarah Kebangsaan Miss World Australia, Deborah Miller memberitahu The Daily Telegraph, sejak Esma dinobatkan sebagai Miss World Australia Jumaat lalu, organisasi itu telah menerima banyak panggilan “yang mengerikan dan mengejutkan” dengan ada yang menuntut juara itu diganti dengan orang lain.

“Kami terima banyak panggilan, orang guna kata-kata yang dahsyat,” kata Miller.


“Ada yang berkata, ‘bagaimanakah anda membiarkan kemenangan seorang Muslim?’. Kami percaya Esma seorang yang kental dan mewakili Australia yang pelbagai budaya.”

Esma berkata ramai orang “terperangkap dalam mempercayai apa yang mereka diberitahu” tetapi mereka tidak akan menolaknya daripada cuba memenangi gelaran Miss World.

Esma, kelulusan jurusan psikologi dan kini berkhidmat sebagai pegawai pemprofil jenayah, lahir di kem pelarian selepas ibu bapanya meninggalkan Bosnia sebelum memulakan kehidupan di Melbourne, Australia.

Dalam temu bual dengan The Morning Show, Esma berkata, ibu bapanya telah membantu membentuk beliau dan menjelaskan keunikan kehidupan di Australia.

“Saya mahu (rakyat Australia) menyedari bahawa kita hanya manusia. Kita manusia dari seluruh dunia dan sudah tentu ada sebab-sebab yang ketara mengapa mereka hendak meninggalkan negara (asal) mereka.”

Dalam komennya kepada The Daily Mail Esma memberitahu banyak perkara telah disalah tafsir mengenai Islam.

“Saya percaya Islam ada mengenai keamanan, perpaduan, kemakmuran dan sifat inklusif.”

Esma bukan orang pertama berhadapan dengan situasi pahit seperti ini.

Portal sbs.com.au memetik Alice Su, rakyat Australia kelahiran Asia berkata, beliau berhadapan dengan situasi seperti itu sebaik diumumkan Miss Australia International awal tahun ini.

“Saya dipandang sepi apabila menghadiri majlis atau diperkenalkan kepada wanita lain, malah orang-orang muda,” kata Su.

Sumber: FMT