MELAKA - "Sebelum ke trek perlumbaan, dia minta restu saya dan ibunya, itu saja," kata Jantan Ramli, 48, bapa kepada pemegang rekod baharu kebangsaan pecut 200 meter (m) berusia 19 tahun, Khairul Hafiz.
Katanya, anak kedua daripada tiga beradik itu memohon restu dan doanya, termasuk isteri, Norlizah Mohamad, 42, namun tidak berbicara mengenai rekod kejohanan yang disasarkan.
"Pada saya hanya doa mengiringi perjuangannya (Khairul Hafiz), malah kami tidak henti-henti berdoa dia mencapai impiannya untuk berjaya dalam sukan diminati dan kehidupan masa depan.
"Apapun, saya yakin melalui keazaman dan kesungguhannya, dia mampu memecahkan rekod 200m itu, begitu juga dalam 100m, cuma masanya saja tidak diketahui bila.
"Terima kasih juga kepada jurulatih, Mohd Poad Md Kassim, rakan pengurusan kontinjen, semua pihak dan rakyat negara ini yang mendoakan kecemerlangan Hafiz," katanya ketika dihubungi BH, semalam.
Khairul Hafiz yang turut digelar 'The Speedy Jantan' yang berkongsi tarikh lahir yang sama dengan bapanya pada Sabtu ini, memecah rekod kebangsaan berusia 49 tahun itu di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin, apabila meninggalkan jauh pencabar lain dengan kepantasan 20.90s, meleburkan rekod lama yang dipegang Tan Sri Dr M Jegathesan iaitu 20.92.
Rekod kebangsaan lama dilakar Jegathesan atau digelar 'The Flying Doctor' dilakukan pada Sukan Olimpik Mexico 1968.
Khairul Hafiz yang mewakili Melaka turut memperbaharui rekod kejohanan 20.94s yang dicatat Kento Terada di Kangar, Perlis pada 1996, untuk memenangi emas acara itu, meninggalkan Jonathan Nyepa (21.29s) dan G Aravinn Thevar (21.31s).
Rekod Sukan SEA, 20.69s masih dipegang Reanchai Seeharwong yang dicipta atlet Thailand itu di Brunei pada 10 Ogos 1999.
Sumber: BHOnline