Mukim Matang Diisytihar Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila


IPOH - Kerajaan negeri Perak mengisytiharkan Mukim Matang yang terletak dalam daerah Larut, Matang dan Selama sebagai kawasan jangkitan penyakit anjing gila berkuat kuasa hari ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pengisytiharan mengikut Subseksyen 39(1) Akta Binatang 1953 itu dibuat sebagai langkah proaktif untuk pencegahan dan pengawalan wabak berkenaan.

“Oleh sebab itu, kerajaan sama sekali melarang mana-mana anjing keluar dari mukim tersebut melainkan dengan kebenaran bertulis daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar negeri.

“Mana-mana anjing dalam kawasan jangkitan yang tidak dikawal secara efektif mengikut Perintah 4, boleh dimusnahkan oleh mana-mana orang yang diberi kuasa secara bertulis oleh Pengarah Perkhidmatan Veterinar negeri,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sumber: Kosmo