Murid Teruja Dapat Balasan Kad Raya Sultan Brunei


BANDAR SERI BEGAWAN – Ia asalnya hanya satu tugasan ringkas yang diberikan guru namun tanpa diduga, penat lelah si cilik ini berbalas akhirnya, demikian lapor media tempatan di sini.

Apa yang pasti, perasaan teruja dan gembira jelas terpancar pada wajah sekumpulan murid Tahun 2, Sekolah Rendah Tumpuan Telisai Tutong II sebaik menerima balasan kad Hari Raya Aidilfitri yang paling istimewa.

Lebih unik, si pengirim warkah ucapan tersebut bukan calang-calang individu sebaliknya pemerintah utama diraja Brunei sendiri yang cukup disayangi oleh rakyatnya, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.

Menurut salah seorang guru Bahasa Inggeris sekolah berkenaan, Dayang Nur Alya Syafiqah Mohd. Yacob, beliau memberikan tugasan kepada 23 orang muridnya untuk cuba membuat kad raya kepada baginda dan kerabat diraja.

“Pembuatan kad ucapan merupakan salah satu aktiviti sampingan pembelajaran sempena sambutan Hari Raya Puasa. Selain itu, ia memberi pendedahan untuk mereka menyampaikan ucapan dalam bahasa Inggeris,” jelasnya.


Pelajar-pelajar tersebut kemudian telah menghantar kad ucapan tersebut di bawah bimbingan guru Bahasa Inggeris mereka sebelum bermula cuti penggal persekolahan yang lalu iaitu semasa bulan Ramadan, baru-baru ini.

Salah seorang murid, Dayang Tia Yuliana Tarjan yang menerima kad tersebut menyatakan perasaan sangat gembira dan sentiasa melebarkan senyumannya seharian setelah menerima balasan kad Hari Raya daripada Sultan Brunei.

Manakala Awangku Khairul Nazran Pengiran Radin pula menyatakan berasa sangat teruja menerima kad ucapan tersebut dan ini membuatkannya semakin menyayangi baginda kerana sudi berkenan membalas kad raya mereka.

Dayang Nur Alya pula meluahkan rasa bersyukur dan seterusnya menjunjung kasih baginda serta mereka berasa sangat bertuah di atas keprihatinan Sultan Hassanal Bolkiah dan merupakan seorang pemimpin yang penyayang.

Menerusi aktiviti itu, ia dapat memberikan mereka peluang kepada murid menzahirkan rasa sayang ke hadapan baginda serta dapat meningkatkan lagi semangat untuk belajar bersungguh-sungguh. – Agensi