AHLI perniagaan terkenal yang kini bergelar selebriti, Nur Sajat menyifatkan tindakan penyebaran nama sebenarnya sengaja diada-adakan pihak tertentu bagi tujuan menjatuhkan reputasinya.
Sajat, 32, berkata, dia tidak tahu menahu dari mana pihak terbabit mendapat maklumat itu hingga sanggup menyunting nama itu.
"Ini bukan kali pertama saya mengalaminya. Sebenarnya mereka ini tak ada kerja dan terlalu 'kreatif' hingga sanggup menyunting nama.
"Bagi saya tindakan mereka seperti tak ada kemajuan dalam diri. Biarlah mereka nak terus berkata, saya malas nak ambil peduli. Banyak lagi perkara lain saya nak fokus," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di Shah Alam, hari ini.
Terdahulu nama yang dikatakan nama sebenar Nur Sajat iaitu Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman berserta gambarnya tular di Internet hingga mencetuskan spekulasi mengenai jantina sebenarnya.
Sajat berkata, dia lebih berminat memberikan fokus melebarkan empayar perniagaan yang sedang berkembang baik.
"Bagi saya, setiap yang positif saya ambil untuk memotivasikan diri saya dan terus menjadi lebih baik, manakala segala yang negatif adalah teladan untuk saya lebih berhati-hati," katanya.
Sumber: MyMetro