Nissan Skyline Remuk Dirempuh


BANTING - Nissan Skyline remuk selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan lain di Kilometer 31 Jalan Klang-Banting, dekat sini, semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 5.30 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan iaitu Nissan Skyline, Proton Wira dan lori.

"Kejadian berlaku apabila Nissan Skyline yang datang daripada arah Klang menghala Banting berhenti di lampu isyarat merah sebelum sebuah kereta Proton Wira yang datang dari arah belakang telah berhenti di belakangnya.

"Tiba-tiba sebuah lori yang datang dari arah belakang telah melanggar Proton Wira itu dan menyebabkan ia bergerak kehadapan lalu melanggar Skyline," katanya.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian dapati ketika kejadian cuaca dalam keadaan baik selain keadaan permukaan jalan kering.

Katanya, kemalangan menyebabkan Nissan Skyline itu remuk di bahagian belakang. Manakala, Proton Wira rosak di bahagian depan dan belakang.

"Laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan," katanya.

Sumber: Sinar Harian