Ops Noda: 54 GRO Asing Dicekup


JOHOR BAHRU - Seramai 54 pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan dalam serbuan serentak Ops Noda di beberapa pusat hiburan di sekitar bandar raya ini, malam tadi.

Dalam serbuan bermula 12.30 tengah malam tadi, polis turut menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang mengaku sebagai pengurus premis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata wanita yang disyaki bekerja sebagai GRO membabitkan tujuh rakyat China, Vietnam (46) dan seorang rakyat Indonesia berusia antara 19 hingga 40 tahun.

"Turut diperiksa pengunjung pusat hiburan, iaitu seramai 201 lelaki tempatan, 96 wanita tempatan, tiga lelaki rakyat Jepun, dua wanita Singapura dan lima lelaki warga negara India berusia antara 18 hingga 60 tahun.

"Pengurus premis yang ditahan dalam operasi ini diambil tindakan atas kesalahan menggaji dan melindung pekerja asing tanpa permit kerja yang sah dan akan didakwa mengikut Akta Imigresen," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan di sini, hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, semua wanita rakyat asing itu disiasat mengikut Akta Imigresen.

"Sasaran dalam operasi ini ialah pusat hiburan yang disyaki menawarkan perkhidmatan GRO perempuan warga negara asing, " katanya.

Operasi yang dijalankan enam pegawai dan 26 anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Johor ditamatkan pada jam 6 pagi tadi.

Sumber: BH Online