ALOR SETAR - Para pengundi dalam kawasan Parlimen Alor Setar diminta memilih semula wakil daripada Barisan Nasional (BN) pilihan raya umum akan datang menyambung semuka hubungan antara rakyat dengan kerajaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, ini memandangkan wakil rakyat pembangkang sekarang kerap 'hilang' dan tidak membantu penduduk di kawasan yang diwakilinya.
"Wakil rakyat pembangkang ini hanya muncul sekali-sekala bagi mencari pulblisiti di akhbar dan datang tunjuk muka sewaktu dekat pilihan raya, " katanya.
"Apakah sumbangan Ahli Parlimen pembangkang kepada penduduk Alor Setar sepanjang dia menjadi wakil rakyat anda di sini? tanya Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri semasa berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Taman Saga, Alor Mengekudu di sini semalam.
Menurut Ahmad Bashah, penduduk Alor Setar 'kerugian' RM30 juta sepenggal atau RM6 juta peruntukan daripada kerajaan pusat setiap tahun kerana memilih wakil pembangkang.
"Keadaan itu berbeza semasa parlimen ini diwakili oleh wakil Barisan Nasional di mana banyak projek untuk faedah rakyat dapat dilaksanakan dengan peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan pusat pada setiap tahun," kata Ahmad Bashah.
Sehubungan itu beliau meminta penduduk Alor Setar mengembalikan semula tiga kerusi yang kalah kepada pembangkang ( Parlimen Alor Setar, DUN Kota Darulaman dan DUN Alor Mengkudu) pada PRU akan datang.
Ahmad Bashah berharap pengundi dalam Parlimen Alor Setar tidak lagi membuat kesilapan lagi dengan memilih calon pada PRU14 yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
"Amat malang, kerajaan BN melaksanakan berbagai projek untuk rakyat tetapi wakil kita yang menjadi penghubung dengan kerajaan negeri dan pusat kalah semasa pilihan raya hingga tiada tempat lagi untuk penduduk mengadu dan meminta bantuan, " kata Ahmad Bashah..
Sementara itu beliau juga mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan pembangkang yang kini giat membuat fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan hanya untuk mengambil alih kuasa kerajaan BN yang telah membangunkan negara semenjak merdeka. - Kedahnews.com.