PABM: Gadis Jepun, Korea Antara Yang Layak Separuh Akhir


BANGI – 10 daripada 20 peserta pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2017 peringkat suku akhir bagi kategori Antarabangsa dan Pelajar Antarabangsa di Malaysia terpilih ke pusingan separuh akhir yang diadakan esok, Selasa.

Peserta yang layak ke separuh akhir daripada kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia ialah Slamy Res daripada Kemboja (UKM); Abdul Rahman Khaled Hassan Saeed, Yaman (UTP); Mohamed Hadad,UK (UniMAP); dan dua pelajar daripada UIAM iaitu Hassan Radwan (Palestin) dan Abdul Matin Mohammad Azeem (Afghanistan).

Bagi kategori antarabangsa pula, peserta yang layak mara ke peringkat seterusnya ialah Nabiya Zarbali (Azerbaijan), Lisa Shimazaki (Jepun), Seok Da-Hye (Korea Selatan), Ma Xiao (China) dan Rimajon Sotlikova (Uzbekistan).


Keseluruhannya, seramai 52 peserta mengambil bahagian dalam PABM 2017 yang memasuki edisi ke-11 dengan tiga kategori dipertandingkan iaitu, Antarabangsa, Pelajar Antarabangsa di Malaysia dan Alam Melayu.

PABM 2017 bermula Ahad lalu dengan persaingan pusingan awal, saingan suku akhir pada Isnin dan diikuti separuh akhir pada Selasa manakala malam kemuncak iaitu pertandingan akhir pada Rabu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Sementara itu, lima peserta kategori Alam Melayu dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Thailand dan Singapura berjaya ke peringkat separuh akhir.


PABM 2017 merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama DBP, Majlis Debat Universiti Malaysia (Madum) dan Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (Makum).

Pertandingan tahun ini bertemakan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu telah menetapkan 12 tema tajuk antaranya Peranan Siswa,Yang Tua Dikasihi, Yang Muda Disayangi dan Kesaksamaan Gender. –Kedahnews.com