KLANG - Padah kerana menggaji warga asing sebagai tekong dan awak-awak.
Tindakan pemilik bot nelayan kelas C itu terbongkar selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menahan bot itu di perairan Selangor, kira-kira 8.1 batu nautika dari barat daya Permatang Sedepa, kira-kira jam 7 petang, semalam.
Pengarah Maritim Daerah, Kepten Maritim Abu Zaki Mohammad berkata, kapal ronda maritim yang melihat bot itu telah menahannya untuk tujuan pemeriksaan.
Menurutnya, pemeriksaan dapati bot nelayan terbabit beroperasi tanpa surat kelulusan daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan untuk menggaji warga asing.
“Seorang tekong dan empat awak-awak warga Myanmar berusia lingkungan 21 hingga 45 tahun telah ditahan.
“Kes ini akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar arahan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan serta tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Beliau berkata, pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan perairan Malaysia khususnya di Selangor akan terus giat dilakukan Maritim Malaysia.
Jelasnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang berdegil melanggar undang-undang.
“Orang ramai diharap dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat jika terdapat sebarang aduan, kecemasan dan aktiviti jenayah di laut melalui talian 24 jam MERS 999 atau pusat operasi Maritim Malaysia,” katanya.
Sumber: Sinar Harian