Padah Jadi Anak Derhaka, Dipenjara 12 Bulan

 

KOTA BHARU – Padah menimpa seorang anak lelaki selepas dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas kesalahan mengugut ibu kandungnya selepas tidak diberikan wang di Kampung Tini di sini pada bulan Ramadan lalu.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd. Noor Hafizz Mat Reduan, 30, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh didakwa telah melakukan ugutan jenayah terhadap wanita itu, Hasni Osman, 52, dengan berkata akan membaling barangan dalam rumah jika tidak diberikan wang kepadanya dengan maksud hendak menakutkannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumah beralamat Lot 2242-C, Jalan Pasir Hor, Kampung Tini di sini kira-kira pukul 7 petang pada 19 Jun lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Sumber: Kosmo