Padah Tangkap Siput Tanpa Permit Ditahan Di Pulau Pinang


DUA bot nelayan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana menangkap siput tanpa permit di muara Sungai Jawi, Pulau Pinang, semalam.

Pengarah Maritim Daerah, Daerah Maritim 2 Pulau Pinang, Kapten Rozali Mohd Said berkata, dua bot terbabit ditahan pada 11 pagi ketika mereka cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiaran anggota APMM.

Menurutnya, dua tekong dan tiga awak-awak warga tempatan berusia 38 hingga 58 tahun dibawa ke Jeti Polis Marin, Batu Uban untuk siasatan lanjut.

"Kes ini akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan kita dapati masih ada nelayan tempatan yang tidak mematuhi undang-undang ditetapkan.

"Kita harap nelayan tempatan merujuk Jabatan Perikanan Malaysia berhubung syarat lesen perikanan supaya tidak timbul salah faham dan tidak melanggar syarat," katanya.

Sumber: MyMetro