Pakar Bedah Kutuk Cristiano Ronaldo


CRISTIANO Ronaldo diselar oleh pakar bedah Portugal atas tindakan bintang Real Madrid itu mendapatkan kembar dengan menggunakan khidmat ibu tumpang.

Bayi kembar Ronaldo, Eva dan Mateo dilahirkan di Amerika Syarikat pada bulan lalu sebelum dibawa pulang untuk tinggal bersamanya di Madrid.

Dr Gentil Martins mempercayai bahawa status Ronaldo sebagai contoh teladan tidak wajar lagi diberikan kepadanya.

"Saya anggap perbuatannya satu jenayah serius," kata pakar bedah berusia 87 tahun yang menjadi pelopor kepada pembedahan untuk memisahkan kembar Siam kepada akhbar Expresso.

"Ia sesuatu yang mejatuhkan maruah dan sedih. Ronaldo seorang ahli sukan yang hebat, memiliki merit yang mengagumkan, tapi daripada segi moral: dia tidak boleh jadi contoh."

Martin turut menyalahkan ibu Ronaldo, Dolores Aveiro atas semua keputusan yang dibuat oleh pemain bernilai RM398 juta itu.

"Semua orang ada hak ke atas ibu mereka. Saya fikir ibu Ronaldo ialah orang yang patut dipersalahkan kerana tidak memberikan pendidikan kepadanya," katanya.

Sumber: Mstar Online