ALOR SETAR - Pemilihan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) akan mencelarukan lagi parti-parti dalam gabungan pembangkang itu.
Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkeyakinan sifat desperado Dr. Mahathir yang tidak konsisten dengan kerap membuat 'pusingan U' akan membawa padah kepada struktur kepimpinan baharu PH itu.
Kegagalan menamakan calon Perdana Menteri yang sebenar jika pakatan menang Pilihan Raya Umum kelak, membuktikan mereka masih berprasangka buruk antara parti-parti dalam pakatan itu, kata Shaiful Hazizy dalam satu kenyataan media semalam..
Beliau yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia mengulas mengenai pelantikan Dr. Mahathir sebagai pemimpin utama untuk menerajui PH bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua umum dan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden gabungan itu Khamis lalu.
" Kemungkinan Datuk Seri Anwar untuk menjadi Perdana Menteri amat tipis memandangkan beliau berada di dalam penjara dan faktor umur.
Cadangan untuk mewujudkan calon 'Perdana Menteri Transit' ataupun Perdana Menteri sementara adalah bukti belum wujud kata sepakat antara komponen pakatan pembangkang itu," katanya lagi.
Kata beliau, Pemuda UMNO Kedah juga yakin DAP akan terus kekal sebagai 'broker paling berkuasa' dalam pakatan itu walaupun Anwar dan Wan Azizah masing-masing dilantik sebagai Ketua Umum dan Presiden gabungan itu.
"Kami turut meragui komitmen pakatan tersebut untuk membebaskan semua tahanan politik di mana ramai pihak maklum, Dr. Mahathir di era kepimpinannya telah menggunakan kuasa termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap musuh-musuh politiknya, " kata Shaiful Hazizy.
Beliau juga menyifatkan PH sudah kehabisan peluru apabila terus menggunakan isu 1MDB dan isu kos hidup rakyat untuk menyerangkan kerajaan BN sedangkan perkara itu telah ditanggani oleh pemerintah. - Kedahnews.com.