Pakatan Harapan Perlu Tunduk, Taat Pada Mahathir Jika Mahu Menang


ALOR SETAR - Parti-parti yang membentuk Pakatan Harapan perlu tunduk dan membuktikan taat setia kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, sekiranya benar-benar berhasrat untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, Mahathir mempunyai pengalaman yang sangat luas untuk memimpin Pakatan Harapan berbanding pemimpin lain kerana beliau lebih arif tentang politik Barisan Nasional (BN).

"Semua tokoh Pakatan Harapan perlu ikrar serta taat setia kepada Tun Mahathir dan ia akan membawa impak positif kepada Pakatan Harapan. Saya fikir sudah tiba masanya Pakatan Harapan menerima semula kombinasi pengaruh Mahathir-Anwar jika nak tubuhkan kerajaan.

"Walaupun begitu, ia mungkin berhasil jika parti pembangkang ikut cakap Tun Mahathir kerana beliau adalah Presiden dan Pengerusi BN selama lebih 20 tahun.

"Mungkin beliau tahu operasi dan modus operandi UMNO serta BN, jadi pemikiran Tun Mahathir juga adalah aset kepada pembangkang,”katanya, memetik laporan Sinar Harian.

Walau bagaimanapun, penganalisis politik terkenal itu mengakui bahawa tindakan taat dan patuh pada Mahathir itu akan menyebabkan DAP, PKR dan PAN yang lebih senior dilihat tidak mempunyai kredibiliti untuk mentadbir sebagai sebuah kerajaan yang baik.

"Inilah dilema yang dihadapi oleh Pakatan Harapan. Jika Tun Mahathir nyatakan kesediaan untuk jadi PM, saya fikir ia petanda tidak baik kepada parti-parti pembangkang yang lebih senior.

"Ia seolah-olah pembangkang tidak boleh diharap untuk memimpin masyarakat dan negara," katanya.

Malah kata Md Shukri, mungkin kesan dari tindakan tersebut akan lebih buruk sekiranya ramai pemimpin Pakatan Harapan yang bersara serta merta hanya semata-mata untuk memberi ruang kepada Mahathir dan PPBM.

"Jika itu isyaratnya, maka ramai tokoh pembangkang perlu bersara serta merta dan memberikan peluang kepada Tun Mahathir serta tokoh-tokoh dari PPBM untuk membangunkan semula pembangkang yang kini seolah-olah daif kepimpinannya," jelasnya.

Justeru itu, semua pemimpin Pakatan Harapan perlu ikhlas untuk tunduk kepada penguasaan Mahathir sebagai Perdana Menteri dan sedia menerima hakikat kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalannya.

"Jika Pakatan Harapan ikhlas menerima kehadiran Tun Mahathir, jadi secara positifnya beliau adalah calon terbaik untuk menjadi Perdana Menteri dan Anwar pula sebagai Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang pada PRU14," ujarnya lagi.

Mahathir sebelum ini menyatakan kesediaannya kembali menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.

Kenyataan tersebut mencetus rasa tidak puas hati ramai pihak, termasuk melihat Mahathir sebagai seorang ahli politik yang kemaruk kuasa meskipun beliau merupakan Perdana Menteri paling lama mentadbir negara selama 22 tahun.

Selain itu, timbul juga bantahan dari beberapa pemimpin Pakatan Harapan terhadap kesediaan Mahathir yang disifatkan sebagai cuba mendominasi dan mengkucar-kacirkan gabungan parti pembangkang yang dikuasai DAP itu.

Terdapat juga kritikan yang mendakwa kesediaan Mahathir itu merupakan salah satu strategi Pengerusi PPBM itu untuk memastikan kuasa terus berpihak kepadanya sebelum diserahkan kepada Timbalan Presiden PPBM yang juga anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Cakap-cakap politik menjangkakan Mahathir akan mencatur gerakan menjatuhkan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mengangkat Mukhriz ke puncak parti sebelum menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepada bekas Menteri Besar Kedah itu.

Difahamkan Mukhriz sebelum ini dilihat tidak berpengaruh dan tidak mampu pergi jauh ketika di dalam UMNO ekoran dikatakan hanya menggunakan nama serta jasa Mahathir untuk melonjakkan namanya dalam perebutan jawatan tertinggi parti.

Mukhriz berada di kedudukan paling corot ketika cuba merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO sebelum tewas lagi ketika mencuba nasib merebut jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti yang lalu. - Kedahnews.com