KUALA LUMPUR - Walaupun kepemimpinan Parti Amanah Negara (PAN) adalah dari dalam kalangan ahli PAS suatu masa dahulu, namun pengaruh dan penguasaan DAP ternyata lebih mengatasi parti itu.
Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail berkata, sebagai contoh berdasarkan perlembagaan PAS, pemegang jawatan tertinggi parti iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan diikuti tiga orang Naib Presiden serta 18 AJK Kerja PAS Pusat dipilih dalam Muktamar Tahunan PAS setiap dua tahun.
Katanya, mengikut Perlembagaan DAP, pemegang jawatan tertinggi iaitu Pengerusi, Timbalan Pengerusi, disusuli lima Naib Pengerusi, Setiausaha Agong dan Bendahari pula dilantik oleh 20 Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat yang dipilih dalam Kongres Kebangsaan parti diadakan setiap tiga tahun.
“Apabila meneliti Perlembagaan PAN ternyata pemegang jawatan tertingginya dipilih mengikut kaedah diguna DAP iaitu 25 Ahli Jawatankuasa Tertinggi dipilih dalam Kongres Kebangsaan setiap tiga tahun sekali bagi melantik Presiden, Timbalan dan tiga Naib Presiden.
“Apakah persamaan kaedah pemilihan pemimpin tertinggi PAN dengan DAP itu satu kebetulan atau agenda terancang? Hakikatnya PAN lebih mirip DAP dan jauh menyimpang dari acuan PAS. Apakah parti sebegini layak diberi kepercayaan memartabatkan Islam di Malaysia,” katanya dalam kenyataan akhbarnya di sini semalam.
Menjelas lanjut, Zein Isma berkata, walaupun Perlembagaan DAP jelas bertentangan dengan syariat Islam, namun apakah PAN bersama parti-parti Pakatan Harapan yang lain mampu menghalang agenda besar DAP untuk mensekularkan Malaysia?
Menurutnya, DAP boleh diibaratkan sebagai ‘abang sulung’ dalam Pakatan Harapan, manakala adik-adiknya masih baharu, muda dan tidak kuat hanya diperlukan untuk membantu merealisasikan agenda ‘abang long’.
Dengan sinis beliau mempersoal, sekiranya abang sulung membiayai kewangan adik, apakah adik berani melawan kehendak abangnya?
“Begitu ironinya hubungan PAN dengan DAP, apabila dirujuk Fasal 2 Perlembagaan DAP, matlamat perjuangannya mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi merangkumi kebebasan dalam beragama daripada diancam undang-undang yang bersifat menindas dan akta berunsur diskriminasi.
“Oleh itu, amat jelas DAP menentang keras pindaan akta RUU355 kerana perjuangannya kekal menyokong kebebasan beragama dan mahukan hak supaya orang Islam juga bebas menukar agama,” tegasnya.
Atas sebab itu tegas Zein Isma yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang, DAP menolak keras cadangan memperkasa kedudukan Mahkamah Syariah di Selangor.
Justeru katanya, adalah wajib bagi umat Islam di negara ini perlu menolak perjuangan DAP kerana matlamat perjuangannya nyata bertentangan dengan tuntutan Islam.
“Namun amat pelik apabila ada orang yang kononnya ahli agama bergelar ustaz khususnya dalam PAN dan PKR, tetapi terus menyokong dan bersekongkol dengan DAP.
“Apakah ada perjuangan yang lebih mulia darjatnya daripada menjaga kesucian agama dan memartabatkan kedudukan Islam di kedudukan paling tinggi di negara ini,” katanya.
Sumber: Utusan