Panggilan Bom Palsu, Rupanya Dari Lelaki Mabuk


SIASATAN awal terhadap seorang penduduk Kampung Tersusun Buntong 4, Ipoh, malam tadi, yang mendakwa menerima maklumat terdapat bom di rumahnya, mendapati lelaki berusia 38 tahun itu positif alkohol.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, ujian yang dijalankan terhadap lelaki berkenaan mendapati pengambilan alkohol melebihi had dibenarkan.

Katanya, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 7.27 malam tadi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Beberapa unit polis termasuk Unit Pemusnah Bom, Unit Pengesan Anjing (K9) dan Unit Kereta Peronda (MPV) bergegas ke lokasi kejadian.

"Bagaimanapun, pemeriksaan oleh Unit Pemusnah Bom secara menyeluruh di kawasan rumah lelaki berkenaan tidak menemui seperti didakwa," katanya.

Ditanya mengenai tindakan lanjut terhadap lelaki terbabit, beliau berkata, siasatan masih diteruskan.

Malam tadi, penduduk di kampung berkenaan gempar selepas seorang daripada penduduk menerima maklumat terdapat bom di rumahnya.

Sumber: MyMetro