PAS Tidak Beri Ruang Lagi Pada PKR Bincang Bab Pembahagian Kerusi


KOTA BHARU  - PAS tidak akan memberi ruang lagi­ kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk berunding mengenai pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, soal pembahagian kerusi terutama di Kelantan tidak wujud kerana hubungan parti itu dengan PKR mahupun DAP sudah putus.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, pihaknya bersedia pada bila-bila masa menghadapi PRU-14 dan hanya menunggu perisytiharan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Razak.

“Kita sudah bersedia jika Perdana Menteri isytihar bubar Parlimen bila-bila masa tahun ini tetapi kalau tahun hadapan itu lebih baik.

“Sekarang kita sudah putus dengan PKR, hubungan kita de­ngan PKR dan DAP sudah tidak ada, jadi tidak berbangkit isu pembahagian kerusi, insya-Allah Kelantan ini PAS akan bertanding di semua kerusi, negeri lain pun sama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini semalam.
.
Pada PRU-13, daripada 45 kerusi DUN, PAS yang bergabung dengan PKR dan DAP bertanding 40 kerusi manakala selebihnya ditandingi oleh  PKR  bagi memastikan pertembungan satu lawan satu menentang Barisan Nasional (BN) di negeri Kelantan .

 PAS berjaya memenangi 32 kerusi, PKR satu manakala BN menawan 12 kerusi.

Sumber: Utusan