Pejabat Pasaraya Di Sungai Petani Rugi RM300,000 Akibat Dipecah Masuk


ALOR SETAR - Sebuah pejabat pengurusan pasaraya di Sungai Petani kerugian kira-kira RM300,000 akibat dipecah masuk dalam satu kejadian yang berlaku semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Saifi Abd Hamid berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 10 pagi tersebut disedari kakitangan pasaraya berkenaan sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada  eksekutif syarikat.

Difahamkan bahawa suspek memecah masuk melalui tingkap tepi aras satu ekoran terdapat seutas tali yang tergantung sebelum terus memasuki pejabat juruwang.

"Setelah pemeriksaan dibuat, dipercayai satu unit peti besi yang mengandungi wang tunai anggaran RM250,000 telah ditebuk selain pejabat berselerakan dan almari diselongkar.

"Dalam masa sama, kita syaki suspek telah memotong wayar penggera, kamera litar tertutup (CCTV) dan pemain rakaman CCTV sebelum melarikannya," katanya.

Kawasan kejadian dikawal rapi oleh pengawal keselamatan, namun ketika kejadian dilaporkan tiada sebarang kecurigaan berlaku.

Sementara itu, mata pemotong dan sepasang sarung tangan turut ditemui di lokasi kejadian. Kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - Kedahnews.com