BANGKOK – Berpuluh-puluh ribu pekerja asing telah meninggalkan Thailand dengan kebanyakan mereka berasal dari negara jiran, Myanmar, kata pegawai-pegawai imigresen semalam selepas undang-undang buruh baharu yang dilaksanakan kerajaan mencetuskan kebimbangan dan panik dalam komuniti imigran.
Berjuta-juta pekerja dari negara miskin seperti Kemboja dan Myanmar menjadi tulang belakang sektor buruh di Thailand.
Sejak mengambil alih kuasa pada tahun 2014, kerajaan Thailand telah mencapai pelbagai kejayaan dalam kempen untuk mengawal tenaga kerja asing, didorong oleh laporan media bahawa pekerja asing tidak berdaftar dieksploitasi oleh majikan.
Kira-kira 60,000 pekerja asing telah meninggalkan negara itu antara 23 hingga 28 Jun lalu, manakala jumlah tersebut semakin meningkat, kata seorang pegawai Biro Imigresen.
“Kesemua mereka dari pelbagai negara, tetapi kumpulan terbesar adalah dari Myanmar. Mereka mungkin sangat takut,” kata Timbalan Pesuruhjaya Pornchai Kuntee kepada agensi berita Reuters.
Berikutan berita penghijrahan besar-besaran itu, kerajaan Thailand pada Jumaat lalu menjanjikan penangguhan selama 120 hari dalam menguatkuasakan sebahagian daripada undang-undang baharu itu termasuk denda sehingga 800,000 baht (RM101,203) terhadap majikan yang menggaji pekerja asing tanpa permit.
Seorang pekerja Myanmar di Bangkok, Geta Devi, berkata, ramai kawannya yang panik mendengar berita tentang dekri baharu itu dan mengambil keputusan untuk pulang ke negara asal mereka.
Sementara itu, lori-lori milik kerajaan Thailand mengangkut pekerja asing ke bandar Myawaddy, berdepan bandar Mae Sot di Thailand untuk diserahkan kepada pihak berkuasa Myanmar, kata seorang pegawai.
Bagaimanapun tidak jelas sama ada mereka meninggalkan Thailand secara sukarela ataupun sebaliknya.
Sumber: Kosmo