KULIM - Seorang pekerja kilang tidak menyangka perasaan tidak sedap hati sejak beberapa hari lalu merupakan petanda dia akan diragut dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumah, pagi kelmarin.
Mangsa, Nur Irniza Mohamad, 23, berkata, dia diragut suspek berusia lingkungan 20-an kira-kira jam 7.20 pagi, dekat lampu isyarat sebuah kilang di kawasan Hi-Tech.
Menurutnya, suspek dipercayai mengekorinya kira-kira 10 minit sebelum kejadian ragut itu berlaku.
“Seperti biasa kalau kerja syif petang, saya akan berulang ke tempat kerja dengan naik motosikal berseorangan," katanya.
Nur Irniza berkata, sebelum kejadian dia perasan seperti ada motosikal mengekorinya.
Bagaimanapun katanya, dia tetap meneruskan perjalanan dan memperlahankan motosikal ketika menghampiri lampu isyarat sementara menunggu lampu bertukar hijau.
"Saya jeling cermin sisi, nampak motor di belakang, sekejap jauh sekejap dekat dengan saya. Bila sampai lampu isyarat, saya sengaja perlahankan motor sementara tunggu lampu hijau.
"Masa tu ada satu saja kenderaan di depan yang berhenti di situ. Tiba-tiba motor tu datang dekat. Suspek yang pakai baju T, berseluar denim dan bertopi keledar pegang motor saya. Kemudian dia tolak sampai terbalik menyebabkan motosikal menimpa badan saya,” katanya.
Menurut Nur Irniza, walaupun keadaan ketika itu cukup mencemaskan, namun dia sempat mencabut kunci motosikal sebagai langkah keselamatan.
“Penjenayah tu berkeras nak kunci sampai tergamak tumbuk belakang saya untuk rampas kunci tu. Dia kemudian angkat tempat duduk motosikal dan melarikan beg saya yang diletakkan di situ. Masa tu saya memang dah tak mampu nak buat apa-apa,” katanya.
Tambahnya, semua dokumen penting seperti MyKad, lesen dan kad bank dilarikan suspek, namun bernasib baik kerana wang gaji serta telefon bimbitnya diletakkan dalam poket seluar.
“Hanya dokumen penting dan sedikit wang dilarikan pencuri,” katanya.
Susulan itu, Nur Irniza membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim kira-kira jam 8.20 pagi bagi memaklumkan kejadian
Sumber: Sinar Harian