KUALA KETIL - Seorang pekerja kilang kayu getah ditemui tidak bernyawa dengan kecederaan parah di kepalanya di Kampung Padang Geh, di sini semalam.
Difahamkan, Haris Fadzilah Awang, 51, ditemui terbaring berhampiran sebuah lori getah dan forklift.
Pekerja kilang, Awang Abu, 47, berkata, kejadian hanya disedari selepas terdengar jeritan seorang pekerja lain.
"Bila saya pergi ke arahnya, darah dah penuh atas lantai. Saya cepat pangku dia dan ajar mengucap," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Menurutnya, punca sebenar tidak diketahui memandangkan tiada saksi yang melihat kejadian itu.
"Tak ada siapa yang nampak, nak kata pun tak kena. Cumanya kami jumpa dia bawah lori dan bersebelahan jentera tu. Boleh jadi kepala dia terkena besi jentera tu atau terkena dinding lori," katanya.
Awang berkata, dia dan mangsa merupakan kawan baik dan saling mengenali sejak 20 tahun lalu, ketika bersama-sama mula bekerja di kilang terbabit.
"Setiap hari jumpa mesti kami melawak. Ada masa kami makan sekali. Orangnya pun jenis tak berkira kalau kita minta tolong. Pagi kejadian kami tak dan sembang sebab jadual padat, saya cuma sempat tegur dia dari jauh," katanya.
Isteri mangsa, Khadijah Wahab, 52, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian menimpa suaminya itu oleh anaknya.
"Balik daripada menoreh anak bagi tahu yang suami dah meninggal dunia. Tapi waktu tu belum tahu dia meninggal dalam kilang.
"Sebelum ni beberapa kali dia kemalangan motosikal. Saya sangka sebabkan kemalangan di jalan raya," katanya.
Menurutnya, pada malam kejadian, mangsa bergurau untuk tidur seorang diri dalam kelambu
"Selalunya kami dengan anak bongsu berusia enam tahun akan tidur sekali dalam kelambu. Tapi malam tu anak bagitau nak tidur di luar.
"Saya pun bergurau dengan dia kata nak tidur dengan anak. Kemudian suami kata lepas ni abang nak beli kelambu kecil dan tidur seorang," katanya.
Ibu lima cahaya mata itu berkata, kini dia memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi menyara anak-anaknya yang berusia berusia enam hingga 21 tahun.
Katanya, anak sulung dan kedua masih menuntut di universiti manakala yang ketiga sedang menunggu tawaran untuk melanjutkan pelajaran.
Abang Mangsa, Abdul Hamid Awang, 58, pula berkata, keluarganya ingin mengetahui punca kematian mangsa.
"Kami tertanya-tanya sebab apa dia meninggal dengan kesan luka. Harap ada jawapan diterima," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga mangsa boleh menyalurkannya menerusi akaun Bank Simpanan Nasional ( BSN) 02126-29-00008976-1 atas nama Khadijah Wahab atau menghubungi talian 019-4962123.
Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan kejadian itu.
Sumber: Sinar Harian