KUALA LUMPUR - Pelajar di seluruh negara masih tidak mampu atau bersedia langsung untuk berbicara, apalagi bertutur dalam bahasa Inggeris, demikian menurut Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas).
Presiden pengasasnya Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz berkata, berdasarkan pemerhatiannya pada acara-acara syarahan di institusi pendidikan termasuk sekolah menengah kerajaan, juga di universiti awam dan swasta, pelajar Malaysia masih tidak begitu yakin berbicara khususnya dalam Inggeris.
"Pada umumnya, bila saya cuba melibatkan penyertaan mereka (pelajar) dalam hal-hal penting, misalnya apa ertinya mewujudkan institusi semak dan imbang dan bagaimana institusi ini harus berfungsi… bukan saja kandungan pengetahuan mereka merisaukan, tetapi juga cara mereka melahirkan pandangan mengenai institusi ini dan konsepnya.
"Inilah masalah yang boleh berlarutan di sepanjang kembara pendidikan seorang warga muda Malaysia.
“Sering identiti politik dalam bentuk polarisasi kaum dan agama boleh menjadikan kembara itu lebih tempang dan perpaduan nasional lebih sukar,” katanya pada syarahan makan tengah hari tahunan English Speaking Union of Malaysia (ESU Malaysia) di sini semalam.
Turut hadir pengerusi ESU Malaysia, Tunku Dara Tunku Tan Sri Naquiah Tuanku Ja'afar dan timbalan pengerusinya, Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda.
Tunku Zain Al-'Abidin menegaskan akibat situasi tersebut, “bahasa Ingggeris menerima kesannya ekoran dasar bahasa yang eksplisit, juga secara tidak langsung akibat impak keputusan dasar dalam bidang-bidang lain”.
Katanya, agak memalukan, di sesetengah bilik darjah hari ini, pelajar mempersenda rakan sebaya yang bertutur bahasa Inggeris dengan cekap kerana mereka melihatnya sebagai percubaan rakan mereka untuk muncul lebih hebat atau bersifat elitis.
"Di sesetengah bahagian negara, ia memerIukan ‘mindset’ baharu sebelum bahasa Inggeris dapat diterima sebagai bahasa untuk memupuk pencapaian insan,” kata beliau.
Tunku Zain Al-'Abidin turut menegaskan sebagaimana bercakap dalam bahasa Inggeris itu penting atas sebab-sebab ekonomi dan diplomasi, adalah lebih penting rakyat Malaysia bercakap Inggeris sebagai satu bahasa budaya “dengan kualiti 'sopan' dan 'adat' yang diperhatikan wujud di awalnya oleh pengembara berbahasa Inggeris pada penutur bahasa Melayu di rantau ini”.
"Jika ini berlaku, sekalipun ketika wujud suasana geopolitik yang sulit sekarang ini, saya yakin matlamat akan dapat dicapai dengan lebih mudah,” kata beliau. - Bernama