PELARI terpantas negara, Khairul Hafiz Jantan ada misi peribadi untuk memperbaiki catatan masa pada Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Bhubaneswar, India, bermula Khamis ini hingga 9 Julai.
Beliau yang pertama kali menyertai ATF, berharap saingan sengit yang bakal dihadapi akan melonjakkan prestasi untuk kembali mencatat masa dalam lingkungan 10.20 saat dalam acara 100 meter.
"Saya mempunyai misi sendiri di India nanti. Saya mahu meningkatkan prestasi semasa beraksi di sana kerana peserta-peserta hebat seperti dari China dan Thailand turut menyertainya," katanya.
Khairul Hafiz ditemui pada majlis pelancaran kasut baharu jenama sukan terkenal, ‘Puma - Netfit Technology’ di sini, semalam.
Hadir sama seorang lagi pelari pecut kebangsaan, Badrul Hisyam Abdul Manap dan jurulatih pecut, Mohd Poad Md Kassim.
Khairul Hafiz dijangka berdepan cabaran getir pada Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos depan apabila pemenang pingat emas Sukan SEA 2015 di Singapura, Eric Cray dari Filipina akan kembali mempertahankan gelaran dimilikinya itu.
"Saya akui memang akan sengit sebab pemenang edisi lalu akan bertanding pada kali ini, namun saya akan menggunakan sepenuh kudrat yang ada untuk mengharumkan negara tercinta,” katanya. Beliau berkata jurulatihnya, Mohd Poad turut menasihatinya agar tidak melayan perasaan gementar, sebaliknya perlu lebih cergas dan tabah bersaing pada Sukan SEA nanti.
"Jurulatih pesan supaya jangan biarkan perasaan takut menguasai diri saya, dan mengingatkan saya bahawa pelari lain juga mempunyai perasaan sama cuma yang membezakan kami ialah kekuatan mental masing-masing," katanya.
Khairul Hafiz meraih pingat emas pada Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Thailand 2017 dengan catatan 10.31s sekali gus menewaskan dua pelari Thailand, Crisajda yang mencatat 10.45s serta Jirapong Meenapra (10.48s).
Sumber: MyMetro